Halaman

Khamis, Februari 24, 2011

RENTAP LATIH BAKAL SUKARELAWAN MUDA

Kursus Asas Relawan Mantap (RENTAP) telah berlangsung di Mustika Embun, Johor Bahru pada hari Sabtu, 19 Februari 2011 yang lalu dengan kehadiran seramai 37 orang peserta. Program ini merupakan kerjasama antara Angkatan Belia Islam Malaysia dan Global Peace Mission (GPM) bagi meramaikan sukarelawan yang berminat untuk menjadi aktivis kemanusiaan di dalam dan luar negara. Program ini turut dianjurkan oleh HELWA ABIM Negeri Johor telah menarik minat guru-guru taski, pelajar tingkatan 6 Maa’had Johor dan pelajar-pelajar Universiti Teknologi Malaysia untuk mengambil bahagian pada hari tersebut.

Sessi pertama dimulai dengan modul asas menjadi sukarelawan oleh Tuan Haji Azlan Muhammad Sharif, Pengarah Bantuan Kemanusiaan GPM. Dalam sesi ini para peserta telah didedahkan dengan faktor-faktor yang mendorong serta prinsip-prinsip seorang sukarelawan. Selain itu, mereka turut berpeluang untuk melakukan kerja-kerja sukarela mengikut model yang telah digunapakai oleh GPM sejak 10 tahun yang lalu. Persiapan yang perlu dibuat oleh sukarelawan antaranya melaksanakan tinjauan dan bacaan awal, melatih diri dengan kemahiran asas seperti pengurusan diri, kebolehan belajar dan perhubungan awam. Tuan Haji Azlan juga menerangkan hak dan tanggungjawab yang yang perlu diberi perhatian dalam setiap misi kesukarelaan.

Saudara Mohd Shakir Fahmi b. Fakhrulrazi, aktivis GPM telah membentangkan tajuk pengurusan bencana. Mengambil manfaat daripada pengalaman Tuan Haji Abdul Manaf b. Kasmuri yang banyak terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan di kawasan perang dan bencana, Saudara Shakir telah menerangkan secara terperinci jenis-jenis bencana, tempat yang perlu dibantu, jenis-jenis bantuan dan bagaimana menguruskan pusat operasi secara berkesan.

Konsep ’membantu’ dan ’menggerakkan’ telah dikupas dengan baik oleh Tuan Haji Mohd Asri Abdul, Ketua Pegawai Eksekutif GPM. Beliau telah menjelaskan selain daripada membantu mangsa-mangsa bencana, usaha menggerakkan kelompok tersebut keluar daripada kancah kesengsaraan perlu diambilkira. Bertitik tolak daripada kesedaran inilah GPM telah memulakan kerja-kerja komuniti melalui pertanian berkelanjutan melalui aktiviti membuat baja semulajadi berasaskan tumbuh-tumbuhan dan program Jom Baca! untuk mengatasi masalah buta huruf di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Di akhir sesi pembentangan beliau peserta telah berjaya membuat sendiri baja semulajadi dengan menggunakan buah-buahan seperti pisang, labu dan beberapa bahan lain.



Di akhir program, semua peserta telah berdiskusi dan membentangkan kajian kes untuk membantu mangsa tsunami di Acheh. Senario sebenar telah ditunjukkan melalui tayangan video dan data-data kejadian tsunami tahun 2004 tersebut dan para peserta diminta untuk menyediakan perancangan membantu mangsa-mangsa tersebut.

RENTAP merupakan salah satu daripada aktiviti yang dijalankan oleh ABIM Pusat bagi menyambut ulangtahunnya yang ke 40 pada tahun ini. Program ini bertujuan untuk memberi kefahaman kepada para peserta tentang keperluan untuk menjadikan kesukarelaan sebagai sebahagian daripada cara hidup serta memupuk semangat mengambil berat terhadap apa yang berlaku di sekeliling masyarakat di samping melibatkan diri untuk membantu dalam apa jua bentuk dan keadaan. Pada masa hadapan, program ini bakal dijalankan di seluruh negeri dan juga daerah bagi melatih pelapis-pelapis baru generasi muda yang akan meneruskan kesinambungan perjuangan ABIM dalam membantu mangsa bencana dan konflik kemanusiaan dengan cekap dan berkesan.