Halaman

Rabu, November 17, 2010

ABIM SAMBUT BAIK PENUBUHAN MAJLIS PENASIHAT PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik penubuhan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran sebagaimana diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam. ABIM berharap penubuhan majlis ini menjadi badan perundingan yang bermakna di dalam usaha mengukuhkan usaha pengukuhan dan pembaharuan sistem pendidikan di dalam negara kita kini yang sedang mendepani cabaran globalisasi yang rencam. Kita yakin pengwujudan forum penasihat terdiri dari kalangan para pakar pendidikan ini bakal mendorong pembangunan idea-idea baru ke arah pengukuhan agenda pendidikan dari pelbagai aspek meliputi arah tuju, kualiti kurikulum, sistem dan pembangunan pendidikan secara menyeluruh.

Apa yang lebih penting juga ialah kepentingan majlis ini memberikan nasihat kepada pihak pengurusan pendidikan negara langkah-langkah yang perlu diberi keutamaan dan tumpunan di dalam menrealisasikan cita-cita pendidikan bersepadu sebagaimana tercerna di dalam Falsafah Pendidikan Negara akan dapat dijayakan sepenuhnya. Sesungguhnya cabaran di dalam pembangunan dan pembaharuan sistem pendidikan negara kini amat besar. Oleh kerana itu, penglibatan semua pihak terutama dari kalangan tenaga pakar adalah langkah yang tepat supaya segala dasar berkaitan pendidikan dijalankan secara berperancangan dan berkesinambungan bersandarkan tuntutan masa kini dan keperluan masa depan. Langkah pengenalan sesuatu dasar pendidikan secara gelojoh tidak harus diamalkan lagi memandangkan ia memberi kesan yang buruk kepada pembinaan generasi. Menerusi usaha ini, ia diharap akan dapat membuang pandangan yang melihat bahawa para pelajar seolah satu bentuk bahan eksperimen atau ujian bagi sesuatu pendekatan pendidikan yang tidak menentu atau bersifat jangka pendek.

ABIM berharap majlis ini akan menjadi sebuah medan musyawarah yang segar dan subur. Namun demikian, usaha dan proses musyawarah dengan kalangan masyarakat terbanyak terutama perkumpulan masyarakat madani di negara ini tidak terhenti setelah penubuhan majlis penasihat ini. Masyarakat terbanyak dari kalangan perkumpulan masyarakat madani harus terus didekati bagi memastikan segala usaha pembaharuan pendidikan di sandarkan kepada satu pendangan yang bersifat menyeluruh terutama dari kalangan masyarakat akar umbi.


Sekian.
Demi Kebenaran dan Keadilan.

Yang benar,
DR. MUHAMAD RAZAK IDRIS
Presiden ABIM