Halaman

Isnin, Oktober 11, 2010

UPSR-PMR: ABIM Sambut Baik Keputusan Kementerian Pelajaran


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik dan menyokong penuh langkah Kementerian Pelajaran memperkenalkan format baru terhadap peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagaimana diumumkan Y.A.B Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, semalam.

Pengenalan format baru peperiksaan ini dilihat satu langkah penting terhadap proses pembaharuan sistem pendidikan negara yang pada masa kini lebih berorientasikan peperiksaan. Menerusi format baru peperiksaan ini, penilaian pencapaian seseorang pelajar tidak lagi hanya tertumpu kepada aspek kecekapan di dalam menjawab soalan-soalan peperiksaan, tetapi penilaiannya akan lebih menyeluruh.

Ini kerana sebagaimana yang telah diumumkan, penilaian pencapaian pelajar menerusi format baru akan dibahagikan kepada dua aspek iaitu aspek peperiksaan di peringkat kebangsaan dan dalam masa yang sama ialah penilaian berasaskan sekolah.

Di dalam hubungan ini, ABIM berpandangan langkah pembaharuan ini tepat pada masanya sejajar dengan perkembangan dunia hari ini yang penuh dengan persaingan. Oleh yang demikian, usaha membangunkan generasi pelajar yang berkualiti bagi mendepani persaingan dunia hari ini menuntut suatu proses pendidikan yang bersifat sepadu atau holistik. Pembaharuan sistem peperiksaan adalah antara langkah-langkah yang amat strategik sekali bagi mencapai cita-cita ini.

Pembaharuan sistem peperiksaan ini juga amat penting bagi merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara. Sebagaimana kita sedia ketahui, falsafah pendidikan negara kita amat menitikberatkan pembangunan insan yang sepadu dan menyeluruh mencakupi aspek akaliah, ruhaniah, emosi dan jasmani.

Oleh kerana itu, semua masyarakat harus memberi sokongan terhadap langkah pembaharuan ini kerana ia bakal memberikan kesan positif terhadap pembangunan pelajar pada masa depan. Apa yang lebih mustahak juga ialah pengenalan format baru ini akan mendorong kepada perubahan budaya pembelajaran di sekolah pada hari dari budaya yang terlalu menekankan peperiksaan kepada budaya yang menggalakkan proses kreativiti dan inovasi.

Kita yakin, sekiranya budaya kreatif dan inovatif dapat dipupuk secara berterusan dan menyeluruh, ia bakal melahirkan satu kualiti generasi Malaysia yang utuh dalam segenap aspek kehidupannya sebagai seorang insan seterusnya mempunyai nilai keyakinan yang tinggi bagi mendepani cabaran dunia sezaman yang penuh dengan persaingan.

MUHAMAD RAZAK IDRIS

Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)