Halaman

Ahad, Oktober 24, 2010

Mantapkan latihan hadapi banjir

TASIK PERGAU – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Jeli bersama Bomba sukarela, kini giat dalam memantapkan lagi latihan persediaan bagi menghadapi segala kemungkinan, pada musim banjir nanti.

Ketua Balai JBPM Jeli, Che Engku Chik berkata, latihan sehari tersebut melibatkan 16 anggota, di mana memfokuskan kepada latihan memantapkan lagi dalam persediaan bot serta dalam operasi menyelamat ketika banjir.

“Kita mahu semua anggota tahu dan terdedah dengan latihan hadapi banjir ini, bagi memudahkan mereka dalam melakukan tugasan yang memerlukan cara yang berbeza berbanding sebelum banjir.

“Latihan ini merupakan rutin latihan tahunan yang dilakukan sebagai langkah persediaan awal kepada semua anggota agar mereka lebih bersedia,” katanya kepada Sinar Harian semasa sesi latihan yang berpusat di Taman Santuari Tasik Pergau.

Menurutnya, latihan pemantapan tersebut dilakukan kerana mahu anggota terlibat tahu dan terdedah dengan alatan serta jentera yang akan digunakan nanti agar lebih cekap dan efektif.

“Latihan kita hari ini fokus lebih kepada pandu uji bot, operasi menyelamat mangsa lemas di mana bomba dan bomba sukarela berganding bahu,” katanya.

Che Engku berkata, dengan pendedahan serta latihan yang dilakukan dapat memberikan pendedahan kepada setiap anggota dalam melakukan yang terbaik dalam operasi nanti.

“Latihan ini menjadi satu medan dan platform kepada semua anggota dalam memperkemaskan serta mempersiapkan diri dalam memberikan khidmat yang sewajarnya kepada seluruh masyarakat,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/kelantan/content/story8327375.asp