Halaman

Rabu, Oktober 06, 2010

Ibadah Qurban: ABIM dan GPM Bantu Umat Islam Di Pelbagai Negara


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) membuka peluang kepada umat Islam yang prihatin untuk memberi sumbangan kepada saudara Islam di beberapa negara di seluruh dunia, melalui Kempen Ibadah Qurban yang dijalankannya.Setiausaha Agung ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim, berkata selain di Malaysia, semua sumbangan berkenaan yang akan digunakan bagi pembelian daging korban, bakal diagihkan antara komuniti Islam di Kemboja, Pakistan, Indonesia, Thailand, Filipina, Myanmar, Nigeria serta Vietnam.

"Kempen sama sudah dilaksanakan sebelum ini dan kami di ABIM bersyukur kerana sambutan diterima daripada orang ramai begitu menggalakkan, sekali gus memudahkan usaha penyaluran sumbangan ini kepada umat Islam yang memerlukan. "Semua wang yang diperoleh melalui Kempen Ibadah Qurban itu akan digunakan bagi membeli daging di negara berkenaan, berikutan harganya yang lebih rendah berbanding di sini dan Global Peace Malaysia dilantik sebagai agensi pelaksana bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sentral pada majlis sambutan rumah terbuka anjuran ABIM bersama Koperasi Belia Islam Malaysia (KPIM) di pekarangan pejabat ABIM, di Taman Cemerlang, di sini. Diadakan bertujuan merapatkan silaturahim sesama manusia, hampir 600 individu termasuk pelajar antarabangsa yang menuntut di negara ini serta masyarakat setempat sekitar Gombak menghadiri jamuan Rumah terbuka itu yang berlangsung dari jam 10 pagi sehingga 3 petang.

Raimi memaklumkan, jumlah sumbangan bagi setiap bahagian dalam Kempen Ibadah Qurban itu adalah berbeza antara satu negara dengan negara yang lain dan mereka yang berminat memberi sumbangan boleh membuat pilihan. Sarawak RM500 bagi satu bahagian; Kemboja (RM240); Pakistan (RM250); Indonesia (RM350); Thailand (RM280); Filipina (RM260); Myanmar (RM240); Nigeria (RM240); Vietnam (RM240). Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, hubungi Global Peace Malaysia di talian 03-61883230 dan 010-4002324 atau layari laman web http://gpm.com.my/