Halaman

Sabtu, Oktober 23, 2010

ABIM-GPM Susun Perancangan Bantu Penduduk Gaza


Konvoi Kemanusiaan Viva Palestine telahpun selamat mendarat di Pelabuhan Gaza. Konvoi ini dianggotai seramai 370 orang dari 30 buah negara, bergerak dengan 150 kenderaan merentasi Perancis, Itali, Greece, Turki, dan Syria semenjak September lalu.

Sepanjang berada di Gaza, Viva Palestine dijangka akan mengagihkan bantuan kemanusiaan bernilai 5 Juta Dollar Amerika kepada para penduduk di Gaza. Naib Presiden ABIM, Khairul Faiz Morat ketika ditemui merakamkan kegembiraan terhadap kejayaan misi bantuan yang digerakkan oleh gerakan ngo dari seluruh dunia tersebut

"Kejayaan ini menyerlahkan lagi kepentingan dan kemampuan gerakan sivil dan ngo untuk melakukan tekanan dan perubahan dalam mempengaruhi polisi kerajaan dalam isu-isu kemanusian dan keamanan", ujar beliau.Sementara itu, misi kemanusiaan ABIM-GPM (Global Peace Mission) yang kini berada di Cairo masih menanti kelulusan dari Kerajaan Mesir untuk masuk ke Gaza menerusi sempadan Rafah.

Misi yang diketuai oleh Setiausaha Agung ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim, sedang dalam rangka untuk menghantar bantuan seterusnya ke Gaza. Perancangan asal misi ini untuk berhimpun bersama-sama aktivis “Viva Palestine” di Pelabuhan El-Erish, Mesir, terhalang kerana sekatan yang dikenakan untuk ke El-Erish.

Dalam pada itu, misi ini telah mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) untuk merangka pelan jangka panjang untuk membantu penduduk Gaza. Misi juga mengambil kesempatan untuk melawat hospital serta ibu pejabat PRCS.

Sessi pertemuan serta perbincangan tersebut juga turut dihadiri oleh Gabenor Gaza Mohammed Qodwa, yang turut berkongsi maklumat berkenaan keadaan terkini di Gaza. Di akhir pertemuan tersebut, Mohammed Qodwa mengiktiraf dan menghargai sumbangan rakyat Malaysia dalam menyalurkan sokongan serta bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Kami di Gaza menerima dengan tangan terbuka NGO dari Malaysia yang sentiasa komited bagi membantu kami walaupun direntangi pelbagai halangan"