Halaman

Rabu, September 08, 2010

Padah mercun meledak

KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak lelaki melecur hampir separuh mukanya akibat disambar api daripada mercun yang dipegangnya dalam satu kejadian di Kampung Beris Alor Pisang, Kuala Besut Terengganu.

Ketika kejadian, mangsa, Mohd Nor Hisham Mohd Mazuki, 11, dikatakan sedang bermain dengan saudara sepupu dan jiran di pekarangan rumahnya.

Ibu saudaranya, Saliza Mohamed, 38, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari Ahad lalu.

“Semasa kejadian Hisham membuka bungkusan mercun untuk melihat apa yang ada di dalamnya. Dia buka sebab kawan-kawan kata di dalamnya ada Aladin. Jadi dia buka untuk melihatnya.

“Ketika membuka bungkusan tersebut tiba-tiba ada di antara mereka yang memasang pemetik api lalu menyambar belerang yang berada di tangan Hisham dan terus menyambar sebahagian mukanya,” katanya ketika ditemui di Wad kanak-kanak Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada Program Bersama: Sayang Disayang anjuran Pergerakan Wanita UMNO negeri di sini, semalam.

Saliza berkata, selepas kejadian Hisham terus ke rumah neneknya dan dibawa ke Klinik kesihatan Kuala Besut oleh bapa saudaranya sebelum dibawa ke HUSM untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan seorang lagi mangsa cedera bahagian mata akibat terkena percikan mercun yang dibakarnya.

Mangsa, Mohd Izzat Hakimi Azman, 8 dari Felcra Teratak Batu, Pasir Puteh dikatakan terkena percikan mercun ketika bermain bersama kawan-kawannya.

Menurut Mohd Izzat, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu dia dan rakan-rakannya bermain mercun bola dengan menimbus mercun tersebut ke dalam tanah.

“Mercun tu kawan-kawan timbus dalam tanah, kemudian mereka nyalakan tetapi ia tidak meletup. Disebabkan tidak meletup mereka cuba gali semula dan tiba-tiba ia meletup.

“Percikannya terkena pada mata saya. Ketika itu saya berada tidak jauh dari tempat kejadian,” katanya yang kini mendapat rawatan di HUSM.

Akibat kejadian itu, mata kiri Mohd Izzat cedera ringan.

http://www.sinarharian.com.my/kelantan/content/story8155561.asp