Halaman

Rabu, September 08, 2010

Bantah imam muda kembali

TUMPAT - Hampir 150 jemaah yang mengelar diri mereka sebagai Pakatan Anak Jemaah Masjid As-Somadi Geting mengadakan demonstrasi secara aman membantah Imam Muda masjid ini, Rosli Abdul Latif, 31, bertugas semula di Masjid As-Somadi Geting sejak seminggu yang lalu.

Mereka mendakwa, sekiranya Rosli bertugas kembali, akan berlaku perpecahan kerana sebelum ini semasa Rosli menjadi imam di masjid ini, pernah berlaku kes dua imam.

Semalam, demonstrasi hampir sejam itu diadakan di hadapan masjid ini selepas solat Asar sambil mereka yang terlibat mengangkat sepanduk tertera ‘Kami ahli jemaah Masjid Geting tidak mahu Imam Muda bertugas semula’.

Berlaku sedikit kekecohan apabila pakatan itu tidak membenarkan imam tetap masjid tersebut, Muhammad Deraman, masuk campur ketika dia cuba meleraikan demonstrasi tersebut.

Seorang jemaah, Abdullah Isa, 64, berkata, dia tidak akan menerima Rosli bertugas kembali di masjid itu kerana Rosli sering menyebabkan kekeliruan dan perpecahan jemaah seperti isu ajaran Wahabi ketika mengajar di surau sekitar mukim ini.

“Rosli pernah mengatakan ahli jemaah masjid ini adalah wahabi, sesat, rosak akidah dan kafir. Mengapa dia perlu bertugas kembali di masjid ini.

“Setahu saya dia pernah meletak jawatan sebagai Imam Muda dan kami berharap dia kekal dengan keputusan itu dan tidak kembali bertugas menjadi imam muda di masjid ini,” katanya.

Abdullah berkata, jemaah di sini tidak mahu ibadah mereka tidak diterima Allah SWT bila berimam dengan Rosli seperti maksud hadis dari Ibnu Majah.

“Antara tiga golongan manusia yang sembahyangnya tidak diangkat oleh Allah walaupun sejengkal daripada kepalanya ialah bila seorang lelaki menjadi imam kepada kaumnya sedangkan kaumnya tidak suka kepadanya," katanya dalam demonstrasi tersebut yang dilaungkan melalui pembesar suara.

Sementara itu, Jidin Jali, 47, berkata, amaran dan ugutan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) kepada Imam Tua, iaitu untuk memecat kedua-dua imam sekiranya masalah ini masih berlarutan akan berdepan bantahan penduduk mukim Geting dan Tebing.

http://www.sinarharian.com.my/kelantan/content/story8156281.asp