Halaman

Isnin, Ogos 30, 2010

ABIM Jadi Pilihan Penuhi Tanggungjawab Komuniti


Sempena dengan ketibaan Ramadhan Al-Mubarak 1431H, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama dengan Syarikat Perodua Sales Pandan Prima Sdn Bhd telah menganjurkan program amal, "Bersama Berkongsi Rasa dan Berkongsi Kasih, Dengan Anak-anak Yatim dan Remaja Terpilih”. Dalam program ini, seramai 42 anak-anak yatim dan remaja terpilih daripada sekitar Lembah telah diraikan. Program bermula dengan Konvoi Khas 48 kanak-kanak dan remaja tersebut yang akan bergerak ke Mydin USJ Subang untuk membeli baju raya. Untuk konvoi ini, pihak Perodua telah menaja 6 buah Alza Perodua yang dijadikan kenderaan rasmi sepanjang program.

Program ini kemudian diteruskan majlis penyerahan sumbangan serta majlis berbuka puasa bersama dengan kanak-kanak, remaja yatim dan miskin terpilih, di Restoran Hardramawt, Ampang, dari ABIM dan Perodua. Terdahulu sebelum itu, kanak-kanak serta remaja-remaja terbabit telah mengikuti sessi ceramah motivasi dan peningkatan kendiri yang dikendalikan oleh Ustaz Zawawi Ahmad Mughni, Yang Di Pertua ABIM Cawangan Negeri Selangor.

Dalam ucapan ketika perasmian program terbabit, Setiausaha Kewangan ABIM, P Aizan Tukirin menjelaskan bahawa program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti-aktiviti kebajikan yang diusahakan oleh ABIM. "ABIM tetap komited untuk menggerakkan program-program seperti ini secara berterusan serta tidak terhad dalam musim-musim perayaan tertentu sahaja," tambah beliau.

Dalam pada itu, menurut pengurus Perodua Pandan Prima, Encik Hishamudin Hassan, pihaknya berminat untuk menggerakkan program ini dengan ABIM kerana meyakini kemampuan serta pencapaian ABIM terutama sekali dalam program-program kebajikan dan kemasyarakatan. "Ini sekaligus membolehkan Perodua memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan lebih berkesan," jelas beliau ketika majlis perasmian program itu.

Menurut Presiden ABIM, Muhamad Razak Idris, program-program sedemikian perlu diteruskan kerana ia dapat memupuk keprihatinan dan sikap berkepedulian sosial masyarakat terhadap anak-anak yatim dan remaja dari kalangan yang miskin dan kurang bernasib baik. "Di samping itu, program ini juga merupakan sebahagian dari usaha pihak penganjur untuk memupuk sikap saling membantu dan budaya ingin menyumbang (infaq) dari kalangan masyarakat kepada mereka yang memerlukan.