Halaman

Selasa, April 27, 2010

Usrah Sebagai Pemangkin Budaya Gerakan - Oleh Syed Mikael Rizal Aidid


Tamrin Nuqaba’ Kebangsaan ABIM yang diadakan baru-baru ini di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menatijahkan satu gerakan kesedaran yang amat serius, betapa usrah perlu dibawa dan diletakkan ke ‘center stage’ semula atau menjadi awlawiyat di dalam gerakan, jika kita mahu ABIM terus wujud dan relevan buat umat pada hari ini.

Program ini telah menyaksikan pelbagai pelan pemerkasaan usrah di semua peringkat telah dirancang, merangkumi usaha menghidupkan usrah-usrah unit yang telah lama ‘mati’, meneroka peluang usrah-usrah baru, mengkreatifkan pendekatan usrah dan mendalami akan keberkesanan silibus usrah ABIM. Apa pun yang dirancang, tumpuan dan fokus yang harus dihalakan kepada semua pimpinan, para nuqaba’ bahawa pada hari ini adalah; Ayuh! Mari kita mula bercakap tentang usrah, komited pada usrah, menghargai usrah dan sedar impak yang boleh usrah bawakan pada umat seluruhnya.

Usrah, yang selama ini sinonim dengan majlis ilmu, majlis ukhuwwah dan majlis pertemuan berkala di kalangan penggerak ABIM wajar diangkat maknanya ke aras yang lebih tinggi. Kegagalan melihat impak dan gagasan yang boleh ‘dilancarkan’ menerusi usrah, bakal menjadikan usrah itu hambar, satu hala, terlalu longgar dan apa yang lebih teruk, tempias dari fenomena ini akan melembabkan gerakan kita secara total. Kejadian ‘kematian’ daerah-daerah ABIM yang acapkali kita dengar di seluruh tanahair tidak dapat dinafikan berpunca daripada tiadanya usrah yang menjadi lambang kewujudan ABIM.

Ada apa dengan usrah, sehingga ia diberi jolokan ‘tulang belakang’ gerakan? Jawapannya sudah pasti tidak terletak pada teknikalnya sesuatu usrah itu, seperti tempat, jamuan, kitab apa nak baca, semua pimpinan wajib hadir, dan bermacam-macam lagi ‘ritual’ yang kita sibukkan mengenainya.

Namun, di sebalik kealpaan kita memenuhi kelengkapan perjalanan sesebuah usrah itu, kita sering lupa, usrah itu wajar ‘dihidupkan’ dengan tiupan ruh semangat gerakan, ruh yang kian hilang pada saat ini. Manifestasi semangat usrah ini, sebenarnya ada pada dustur budaya ABIM yang selama ini kita hafal, hayati dan seminarkan. Inilah budaya ABIM, budaya gerakan, budaya yang dengan izinNYA, lahir angkatan pendakwah yang didambakan oleh umat selama ini.

Usrah tidak boleh sekali-kali ‘disassociate’ atau terpisah dengan asas budaya gerakan yang kita telah gagaskan selama ini. Budaya ABIM adalah kefahaman beriringan yang wajib dibudayakan di dalam usrah. Program jamaah apa lagi yang kita harapkan untuk memperkasakan dan mengembalikan izzah gerakan ini, kalau bukan usrah, satu program yang intim & holistik sifatnya serta mampu menjadi pencetus kepada idea-idea besar yang mampu diterjemah kepada gelombang untuk merubah nasib umat.

Budaya ABIM, sebenarnya tanpa sedar telah lama hadir di dalam usrah kita, cuma tinggal lagi kita memberi peneguhan dan komitmen menjayakannya. Insya ALLAH, jika kita komited, andai semua 5 budaya ini ada dalam usrah kita, ALLAH pasti akan perteguhkan semula hati-hati kita, ke arah menjayakan perjuangan ini.

Kesedaran akan saling kaitan di antara usrah dan budaya gerakan ini telah dicetuskan di dalam sebuah pertemuan pimpinan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan mantan Presiden ABIM, Tuan Haji Ahmad Azam, di mana penulis pada waktu itu adalah merupakan Timbalan Presiden PKPIM, merangkap Pengerusi Majlis Tarbiyah PKPIM.

Idea yang dilontarkan oleh beliau pada waktu itu amat diperlukan oleh kami, para pelajar dalam meneguhkan identiti kami sebagai ahli gerakan, menerusi institusi usrah. Menurut gagasan idea Tuan Haji Ahmad Azam dan sedikit dokongan dari penulis, berikut adalah susunan, atau maratib yang perlu ada dalam memastikan usrah menjadi pemangkin budaya ABIM. Berikut adalah 5 Mim di dalam menjayakan usrah;


MIM 1 : MUROQABAH : Menghayati Amalan Kerohanian

Walaupun budaya ini dalam tertib budaya ABIM berada di tangga kedua, namun di dalam usrah, ini agenda terbesar dan perlu dikedepankan. Menerusi Muroqabah, usrah seharusnya dimulakan dengan merapatkan diri kepada ALLAH S.W.T. Usrah yang terbaik adalah usrah yang dimulakan dengan solat berjamaah. Adakah sama usrah yang terus dimulakan tanpa solat berjamaah, sama dengan yang sebaliknya? Sudah pasti tidak.

Usrah yang dimulakan dengan Solat Maghrib berjamaah adalah yang terbaik, kerana dengannya terbukti, hati-hati ahli usrah akan terikat. Kajian saintifik juga telah membuktikan solat berjamaah mampu memusatkan pemikiran, tenaga dan kasih sayang setiap ahli jamaah, sehinggakan kesemua rasa susah, senang di kalangan ahli usrah akan dikongsi bersama. Solat jamaah juga boleh bertindak sebagai ‘zon ketenangan’ atau zon untuk para berjuang kembali berkumpul, berkongsi kekuatan dan semangat daripada asakan dunia dan musuh yang tak henti-henti kunjung tiba.

Ada juga yang memilih untuk usrah dimulakan dengan iftar jamaiy, atau majlis berbuka puasa. Ini juga satu ‘entri’ kerahmatan ALLAH yang amat besar. Dengan komitmen berpuasa bersama-sama yang telah disyiarkan oleh naqib, contoh terbaik adalah pada hari Isnin dan Khamis, semua ahli usrah akan berkongsi kepayahan berpuasa, menahan diri bersama dan kemudiannya berbuka puasa dengan jamuan yang sekadarnya. Doa berbuka puasa juga boleh disulam dengan pengharapan agar ALLAH memperkukuh kembali ukhuwwah yang longgar dan memperbaharui ruh perjuangan.

Setelah selesai solat Maghrib berjamaah, bacaan al-Ma’thurat wajar mengambil tempat. Walaupun waktu bacaan yang paling awla untuk Ma’thurat adalah selepas solat Subuh dan ‘Asar, namun atas kekangan masa, selepas solat Maghrib juga adalah amat digalakkan. Jika mampu bawa Ma’thurat Kubra bersama-sama, silakan. Tapi jangan sampai Ma’thurat Sughra pun diambil enteng, hingga menjadi ‘Ma’thurat Segera’, satu jenis ma’thurat yang tergopoh-gapah, sehingga akhirnya tiada lagi budaya membaca Ma’thurat. Impak Ma’thurat jika kita amati dengan teliti, membawa kesan yang mendalam pada jiwa gerakan.

Dimulakan dengan gugusan ayat-ayat perjuangan, salawat dan pujian ke atas Rasulullah S.A.W., rantaian doa-doa munajat, doa penyucian jiwa dan ditutup dengan doa robitah, satu doa yang mampu mengikat sekukuh-kukuhnya hati sesama ahli usrah. Justeru, andai usrah ini adalah umpama hati gerakan, Ma’thurat pula adalah umpama hati usrah. Laksanakanlah sepenuh hati.


MIM 2 : MUNAQASHAH :: Menghayati Budaya Ilmu


Kenapa dipilih ‘menghayati’ dan tidak mempelajari ilmu? Jawapannya terletak kepada tuntutan agar ilmu-ilmu yang kita dapat daripada madrasah ABIM atau di luar radiusnya, tidak sekadar merupakan ilmu tanpa amal, ilmu tanpa yakin dan ilmu tanpa ruh, tetapi merupakan ilmu yang ‘hayat’ atau hidup hatta sampai ke dalam setiap pembuluh darah dan ruangan jiwa. Inilah garis besar yang membedakan kita dengan gerakan Islam lain.

Ya, benar, gerakan lain ada juga penegasannya tentang ilmu, tetapi dalam ABIM, kedudukan ilmu ini amat tinggi kedudukannya, sehinggakan apa jua justifikasi tindakan wajib berlandaskan ilmu yang ditunjangi al-Quran dan Hadith, dan bukan dilatari dengan emosi, fahaman politik sempit dan pertimbangan kepuakan yang melulu.

Usrah yang sudah dimulakan dengan Muroqabah, wajar disambut dengan Munaqashah, iaitu agenda ‘mencanai’ ilmu dan bukannya ‘mempelajari’ ilmu. Tidak sekadar dihadkan kepada tafsiran ayat-ayat yang tipikal, pembacaan hadith dengan gaya klasik, ruh ilmu di dalam usrah juga perlu ‘dihadirkan’ dengan cara dan penyampaian ilmu yang baru dan menarik.

Isinya masih sama seperti perbincangan Tafsir, Hadith, Sirah, Tasawwuf, Tauhid dan sebagainya, cuma cara ia disampaikan menarik, penuh komitmen, bertenaga dan yang terpenting ada kaitan dengan realiti kontemporari. Natijahnya, ahli usrah pun terlonjak semangatnya untuk terus menekuni dan menjiwai ilmu-ilmu yang disampaikan di dalam usrah. Pokoknya, ilmu di dalam usrah amat memerlukan agenda ‘re-branding’ untuk meraikan idealisme generasi muda yang sentiasa mahukan pembaharuan pada hari ini. Dalam kata lain, isi (content) ilmu di dalam usrah harus diperteguhkan, manakala dalam masa yang sama cara penyampainnya (delivery) juga harus menarik!


MIM 3 : MUSYAWWARAH :: Menghayati Amalan Shura dan Amal Jama’iyy

Setelah sempurna slot dan agenda keilmuan di dalam usrah, ia tidak boleh tidak, perlu dimasukkan dengan budaya menghayati amalan syura. Di sinilah terletaknya medan interaktif terbaik antara setiap ahli usrah. Sifat majlis syura yang sebenar yang lebih menjurus kepada perbincangan aras tinggi mengenai isu-isu ‘vital’ jamaah, juga boleh dibudayakan di dalam usrah. Perbincangan akan pemantapan gerakan boleh diadakan di dalamnya. Benar, ada mesyuarat exco atau jawatankuasa ABIM yang boleh membincangkan pelbagai program.

Tapi, lain dengan usrah, ia adalah landasan ‘pencetus’ atau ‘the ignition platform’ kepada setiap program besar gerakan. Adalah menjadi harapan, sekiranya usrah menjadi pencetus, dan dengan semangat amal jamai’yy, menjadikan setiap idea yang tercetus, akan didokong dan terkandung di dalamnya ikrar untuk sama-sama menjayakan apa juga perancangan. Prinsip sama-sama bangun dan jatuh akan diasah di dalam usrah itu sendiri, yang pasti akan mempersiap setiap ahli usrah agar tabah dengan asakan dunia di luar usrah.


MIM 4 : MUHASABAH :: Memahami dan Melibatkan Diri pada Isu Semasa

Usrah seumpama tergantung andai tidak diselangi dengan agenda Mim ke-4, iaitu Muhasabah. Ini adalah persiapan terpenting yang perlu ada pada setiap ahli usrah sebelum beraksi di medan dakwah, kerana dengannya kita akan tahu, sedar dan sedia terhadap mana-mana realiti di luar sana. Slot perkongsian isu-isu semasa yang terkini tidak wajar hanya berlegar-legar di makalah dan akhbar berkala ABIM, laman web dan blog-blog ABIM, e-mel dan surat khabar arus perdana semata-mata.

Usrah perlu jadi ‘one-stop shop’ untuk menjadi ruang perkongsian ‘berita yang punya nilai’ untuk kita. Berita-berita dan perkembangan perlu merangkumi radius tempatan dan antarabangsa. Setiap berita yang dikongsikan juga perlu disaring agar memberi agenda bertindak dan bukan hanya agenda untuk sekadar tahu. Ini akan menjadikan setiap ahli usrah ‘alert & well prepared’ , sebelum menyampaikan saran-saran dakwah.


MIM 5 : MUJAHADAH :: Menghayati Ruhul Jihad Fisabilillah

Di antara semua budaya, budaya Mujahadah dipilih untuk menduduki tempat kesempurnaan tertinggi di dalam gerakan. Kita diminta agar memberi yang terbaik untuk Islam, dan bukannya sisa-sisa daripada kita untuk Islam. Allahyarham Ustaz Niamat Yusof pernah berkata; “ Andai kamu beri separuh masa kamu pada Islam, akan lahirlah Islam itu Islam Separuh, tetapi jika kamu memberikan seluruh masa kamu untuk Islam, akan lahirlah Islam itu, Islam Sempurna”.

Faham jihad yang dilatari dengan mesej bersungguh-sungguh untuk agama, wajar diarus-perdanakan dalam gerakan kita. Jiwa bersungguh-sungguh berkorban pada agama ini juga sebenarnya yang mahu kita tanam di dalam setiap penghujung usrah ABIM. Peranan naqib memberi kata-kata semangat dan titipan kepritahinan pada waktu penutup setiap usrah inilah, yang seringkali dilihat menjadi ‘decisive factor’ atau faktor penentu yang bakal menegapkan komitmen dan keazaman setiap ahli usrah untuk hadir ke usrah seterusnya, dan bukannya rasa terbeban dengan pelbagai masalah dunia untuk menghadirinya.

Usrah yang punya ruh jihad fi-sabilillah ini juga, harus ditutup dengan doa yang masyhur di kalangan pendokong ABIM, iaitu doa Robitah. Doa yang dibacakan oleh naqib dan diaminkan oleh setiap ahli usrah ini, mampu jadi ikrar untuk terus sama-sama berjuang, dalam masa senang, masa susah, hatta komitmen itu dibawa ke tahap mati bersama-sama di dalam jalan yang mulia ini!

Khulasah

Kata pengikat terakhir adalah, usrah dan jamaah itu amat saling berkaitan dan apa yang memberi kekuatan pada usrah juga akan memberi kekuatan kepada jamaah dan sebaliknya. Justeru, jika kita mahu generasi ABIM akan datang terus berada dekat dengan hati umat, tiada kompromi lagi, budaya ABIM yang membina jiwa-jiwa pendakwah kita selama ini perlu diserap ke dalam usrah, agar usrah bukan sahaja jadi majlis ilmu dan ukhuwwah semata-mata, tapi usrah adalah sesuatu perkumpulan manusia yang mampu memberi perubahan dan terus dirahmati dalam agenda mengangkat martabat ummah!


“Dengan Muroqabah,
...hati bersatu mengingat ALLAH’
Dengan Munaqashah,
...ilmu dicanai memperkasa fikrah,
Dengan Musyawwarah,
...amal jamaiy meneguhkan khittah,
Dengan Muhasabah,
...kita siap siaga mempeduli ummah,
Dan dengan Mujahadah,
...kita akan turun berjuang mempertahankan Aqidah!


SYED MIKAEL RIZAL AIDID
Setiausaha ABIM Pulau Pinang

http://www.mindamadani.my/