Halaman

Selasa, April 27, 2010

Muslimah Unggul Pembina Khayra Ummah


Wanita seringkali dikaitkan dengan punca kepada jatuh atau bangunnya sesebuah tamadun. Kejatuhan Tamadun Rom sebagai contoh runtuh akibat daripada perebutan kuasa dan wanita antara si jelitawan Cleopatra, Marc Anthony dan Julius Caesar. Malah beberapa tamadun silam juga hancur akibat eksploitasi keatas kaum wanita yang dijadikan objek seks untuk merosakkan moral masyarakat setempat.

Namun, kedatangan Islam telah mengangkat darjat wanita ke kedudukan yang sangat mulia sehingga diabadikan di dalam Al-Qur’an seperti surah An-Nisa dan Maryam. Tokoh-tokoh wanita yang punya personaliti unggul dalam sejarah Islam seperti Khadijah, Asiah, Fatimah, Aisyah, Sumayyah, Hafsa, Nusaibah, Ratu Balqis, Siti Zulaikha, Asma’ , Khaulah dan ramai lagi (tidak tertulis nama-nama mereka) telah memainkan peranan yang sangat signifikan dalam pembinaan sebuah tamadun Islam yang ulung suatu ketika dahulu. Justeru, tidak keterlaluan jika dikatakan faktor diri wanita merupakan cerminan kepada jatuh atau bangunnya sesebuah bangsa, Negara dan tamadun.

Kejadian wanita di dunia ini ibarat bunga. Ia bukan sekadar penyeri, tetapi punya hikmah tersendiri bagi yang mengerti. Rasulullah s.a.w sendiri mengibaratkan wanita sebagai pohon semalu. Setiap elemen yang menghiasi kejadian pohon semalu (bunga, duri, dan akarnya) amat berkait rapat dengan kejadian wanita.

Pertamanya, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh yang menggambarkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu pada tempatnya iaitu malu kerana ingkar kepada syariat agama, berkelakuan tidak senonoh dan hidup bergelumang dalam kemaksiatan.

Keduanya, duri pohon semalu menggambarkan wanita perlu mempertahankan maruah diri sebagai wanita Muslimah. Jika ini difahami secara tuntas, maka wanita tidak akan sesekali merendahkan martabat kejadiannya dengan mengikut budaya barat yang sudah hancur moralnya dengan melepas bebas rambutnya tanpa tudung, berpakaian seksi sehingga mengancam moral masyarakat lelaki, terjebak dengan seks rambang sehingga terjadilah fenomena pengguguran janin, buang bayi dan seangkatan dengannya.

Ketiganya, pohon semalu mempunyai akar tunjang yang sangat kuat mencengkam bumi yang menggambarkan bahawa wanita mestilah mempunyai keterikatan (rasa berTuhan) yang sangat teguh dengan Allah S.W.T. Para wanita yang solehah adalah mereka yang mentauhidkan Allah S.W.T dalam segenap aspek kehidupannya. Langkahnya didunia tidak tercabar dengan dakyah-dakyah pemikiran yang merosak pegangan akidahnya.

Malah dia pula yang menjadi srikandi Islam yang menyelamat akidah umat Islam daripada terjerat di dalam kesesatan. Walau dunia maju sekalipun, pendiriannya sebagai Muslimah tidak pernah melampaui batas hukum-hakam syariat yang telah ditetapkan oleh Allah. Keimanan yang tinggi kepada Allah S.W.T. menjadikan diri wanita tetap tegar dalam menjalani kehidupan, tidak mudah berputus asa, malah sanggup pula berkorban jiwa raga demi menegakkan keadilan dan menentang kebatilan.

Akhirnya, bunga semalu akan menguncup dengan sendirinya apabila senja menjelang menggambarkan kepada kita bahawa wanita perlu kembali kerumah (atau berada di tempat-tempat yang molek seperti majlis ilmu) apabila waktu senja menjelma. Begitulah metafora pohon semalu yang menjadi manifestasi keindahan wanita yang harus diambil iktibar oleh sekalian diri kita yang bergelar wanita Muslimah.

Selain itu, terdapat beberapa ciri Muslimah unggul lain yang harus disulam pada setiap diri wanita yang berbusana Muslimah iaitu:-

1-Qowiyyul jism- sihat tubuh badannya.

2-Matinul khuluq- unggul akhlaknya.

3- Muthaqqaful fikr- luas dan bernas fikiran

4- Qadiran ‘alal kasb- mampu mencari sara hidup => mandiri

5- Salimul ‘aqidah- murni aqidahnya

6- Sohihul ibadah- tepat ibadahnya

7- Mujahidan linafsih- tekun bermujahadah

8- Harison ‘ala waqtihi- peka dengan masa

9- Munazzaman fi syu’unihi- sistematik, teratur kerjanya

10- Nafi’an li ghairihi- bermanfaat kepada orang lain.

Kesimpulannya, kesemua ciri-ciri yang disebutkan diatas, merupakan mutiara-mutiara yang mengindahkan lagi kejadian wanita Muslimah yang berperibadi unggul. Motto ‘Hidup Biar Berjasa’ sentiasa menjadi ispirasi wanita berperibadi unggul untuk menabur bakti walau di mana dia berada, walau apapun dia berperanan dan walau apapun jawatan yang disandang agar keunggulan ini akhirnya dimanfaatkan dalam segenap aspek kehidupan peribadi, keluarga, sosial, ekonomi dan pentadbiran Negara. Justeru, produk akhirnya, maka akan lahirlah sebuah tamadun Khayra Ummah.

http://www.abim.org.my/