Halaman

Rabu, April 21, 2010

Farra "Bagaikan Putri" Enggan Pandang Belakang


DIA masih lincah seperti dulu. Mengenakan jubah hitam ketika hadir pada sesi penggambaran di studio Utusan baru-baru ini, tidak menghalangnya untuk bergerak pantas. Malah, kehadirannya membuatkan ramai yang pandang dua kali dan tertanya-tanya siapakah gerangan wanita genit itu kerana wajahnya seperti pernah dilihat di mana-mana.

Ketika menunggu giliran untuk diambil gambar di dalam studio, jurufoto senior, Noor Baini Masri lantas menegurnya dan bertanya, "Ini Farra ke? Penyanyi (lagu) Bagaikan Puteri?" Dia mengangguk.

Lantas, semua yang berada di situ tersenyum dan terus bertanya khabar kepadanya, setelah sekian lama mendiamkan diri.

Bagi yang tidak tahu statusnya yang sudah bercerai pada Ogos tahun lalu, khabar berita tentang rumah tangganya turut disoal. Namun, wanita berusia 41 tahun itu hanya tersenyum dan tenang menjawab, dirinya kini seorang ibu tunggal.

Benar, penyanyi yang popular dengan lagu Bagaikan Puteri pada sekitar tahun 1990-an, Farra atau nama sebenarnya Farihah Mohd. Arshad, tidak lagi bergelar isteri orang.

Tidak mahu memandang ke belakang dan meratap segala kisah duka yang telah berlaku, Farra menganggap penceraiannya itu adalah salah satu ujian Allah SWT yang harus dihadapinya.

Hidupnya kini lebih bermakna dengan menghabiskan masa bersama anak angkat kesayangannya yang baru berusia setahun, Muhammad Affif Zikry, serta mencari rezeki untuk mereka berdua.

Berdakwah

Tidak seperti para selebriti lain yang akan bergiat aktif dalam kerjaya seni semula selepas penceraian, Farra lebih selesa jika karier seni nyanyian diabadikan sebagai kenangan sahaja.

Apa yang diinginkan, Farra mahu berdakwah dan menyebarkan ilmu pendidikan menerusi bidang seni.

"Cukuplah, dulu saya dah puas menyanyi. Kembalinya saya hari ini tidak bermaksud yang saya akan bergiat aktif menyanyi seperti dahulu. Rasanya, 'kembali' bukanlah satu perkataan yang sesuai.


"Kiranya, jika dulu saya seorang penyanyi. Kini saya lebih pada genre yang lain, yang mana saya menjadi lebih kepada seorang Muslimah. Justeru, saya ingin mengendalikan sebuah program bual bicara berunsurkan pendidikan.

"Dengan imej ini, rasa macam tak sesuai pula. Ya, dulu (saya) menari sakan, tiba-tiba nak menyanyi dengan imej begini. Lainlah kalau dulu saya penyanyi nasyid, bolehlah saya kembali dengan gaya seorang penyanyi nasyid.

"Lagipun, sebagai seorang Muslimah, ia (menyanyi) adalah perkara yang tidak patut dilakukan. Namun sekarang ini, saya bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang pengacara berdasarkan program yang sesuai seperti program kanak-kanak atau yang lebih Islamik," ujarnya dalam senyuman sambil membetulkan selendang hitamnya.

Tambah Farra, inilah masanya untuknya memberi dan berkongsi ilmu dengan peminat-peminatnya yang pernah menyokongnya ketika dia berada di puncak populariti dahulu.

Selain ingin bergiat aktif dalam pengacaraan, Farra juga terbabit sebagai model sambilan bagi jenama busana Sumayyah.

Dalam pada itu, setiap pagi, Farra akan membabitkan diri dalam mengajar kanak-kanak berumur bawah empat tahun melalui program Alim Kids Playgroup.

Walaupun perasaan rindu terhadap bidang nyanyian masih lagi wujud dalam jiwanya, Farra langsung tidak menyanyi lagi sejak berubah imej walaupun sekadar suka-suka di rumah.

Bagaimanapun, dia akan menyanyi lagu-lagu kanak-kanak dalam program Alim Kids Playgroup ketika mengajar kanak-kanak di bawah bimbingannya.

Tidak goyah

Melihatkan imej terbaru Farra, pasti masih lagi ada yang terkejut dengan imejnya yang telah pun berubah sejak tahun 2003.

Transformasi yang dilakukannya tiada paksaan sebaliknya ia datang dari hati nuraninya sendiri yang ketika itu masih bergelar isteri kepada bekas suaminya, Mohd. Shahrul Azni.


Ilmu demi ilmu yang dipelajari Farra bersama bekas suaminya, Mohd. Shahrul Azni tentang Islam dan bila masing-masing jelas dengan apa yang diinginkan, Farra nekad untuk mengubah diri kepada seorang wanita Muslimah.

"Mula-mula dulu saya persoalkan, kenapa perlu pakai tudung? Kemudian saya cari sebab-sebabnya dengan membaca al-Quran. Bila faham perkara yang boleh dan tidak boleh sebagai seorang Islam, saya tidak goyah. Malah, lebih jelas lagi untuk menuju ke jalan yang diredhai Allah.

"Kemudian barulah saya faham, kita harus patuh dengan suruhan Allah. Dalam pada itu, saya juga mendalami ilmu-ilmu Islam yang pernah saya abaikan dahulu. Barulah saya berniat yang saya perlu berhenti melakukan perkara yang pernah dilakukannya sebelum ini dan berubah kepada seorang wanita Muslim yang sebenar," ujarnya.

Ketentuan

Ditanya pula adakah Farra menyesal dengan kehidupan yang lepas, katanya: "Setiap perkara yang kita lakukan yang mana kita tidak mentaati perintah Allah, sesungguhnya ia adalah satu penyesalan.

"Bagaimanapun, apa yang telah berlaku itu adalah suatu ketentuan dan kita perlu berdepan dengan keampunan. Saya percaya hidup kita mempunyai fasa. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Allah memberikan hidayah," tegasnya .


Sementara itu, menyentuh mengenai perasaannya selepas bercerai, Farra tidak sangka yang dia mampu menguruskan hatinya yang berkecamuk pada waktu itu, malah Farra menjadi lebih kuat dengan setiap dugaan yang diterima.

"Apa yang saya boleh katakan, perasaan kecewa saya sudah tamat. Tipulah kalau saya kata tak berasa apa-apa kerana hati saya sememangnya terluka waktu bercerai dulu.

"Tapi saya cepat sedarkan diri dan mengubah perasaan sedih itu menjadi positif dan hanya berserah kepada-Nya.

"Mengenai jodoh pula, itu semua ketentuan Allah. Memang diakui yang saya kini lebih berhati-hati. Tapi saya mahu anak saya membesar dengan merasa kasih sayang daripada seorang ayah. Apapun buat masa ini, perancangan saya adalah membina kerjaya saya terlebih dahulu," akhiri Farra.

http://www.kosmo.com.my/