Selasa, Februari 09, 2010
Pandangan Yusuf al-Qaradawi Mengenai Panduan Kebangkitan Islam dan Ciri-Ciri Pendakwah
Bab ini membicarakan panduan kebangkitan Islam. Menurut al-Qaradawi kebangkitan Islam perlu mempunyai kematangan dan anjakan paradigma ke arah yang lebih baik. Di samping itu, beliau juga menggariskan ciri-ciri pendakwah.
Kebangkitan Islam yang Diinginkan
Sejak bermulanya semarak kebangkitan Islam pada awal 70-an dan 80-an, al-Qaradawi sentiasa memberi bimbingan kepada generasi muda Islam mengenai kebangkitan Islam dengan memberi pandangan dan ijtihad gerakan.
Beliau juga melibatkan diri dalam proses ekonomi Islam dengan menjadi ahli penasihat kepada Bank Faisal dan institusi-institusi kewangan lain. Beliau menjelaskan antara penyakit umat Islam yang berlawanan dengan sifat fitrah manusia ialah al-Ghalu (fanatik) kerana perjalanannya tidak akan panjang serta mengabaikan hak-hak orang lain.
Al-Qaradawi mengakui bahawa beliau sentiasa mengambil berat tentang masalah kebangkitan Islam yang telah menjadi isu utama dalam penulisannya lantaran kepentingan masa kini serta masa depan umat Islam.
Keperluan ini amat mendesak untuk memastkan kebangkitan ini tidak melemahkan dan tidak melencong dan tidak menyimpang. Kebangkitan ini tidak seharusnya tergendala di tengah jalan. Oleh itu, beliau menggariskan sepuluh langkah menuju kematangan kebangkitan Islam atau membimbing kebangkitan Islam dari zaman kekeliruan kepada pencerahan. Sepuluh langkah yang diutarakannya ialah :
1. Dari format dan simbol kepada hakikat dan “sabstance”
Ada di antara manusia yang memerhatikan aspek luaran yang bersifat formaliti daripada isi kandungan, hanya mementingkan bentuk bukan pada hakikat. Seolah-olah yang penting adalah memanjangkan janggut, memendekkan pakaian, membawa siwak, mengharamkan semua jenis lagu dan mewajibkan pemakaian purdah untuk wanita.
Oleh itu, umat Islam perlu mencurahkan perhatiannya kepada substansi dan roh ajaran Islam daripada format dan bentuk. Islam sebagai akidah substansinya adalah tauhid, sebagai ibadat substansinya adalah keikhlasan, sebagai tuntutan moral substansinya adalah kasih sayang, sebagai syariat substansinya adalah keadilan, sebagai peradaban substansinya adalah keseimbangan.
Maka sesiapapun yang menghilangkan unsur-unsur substansi tersebut turut menghilangkan substansi Islam walaupun ia berpegang kuat kepada simbol dan bentuk tersebut. Al-Qaradawi membawa contoh golongan yang suka kepada pengetahuan teori semata-mata, terlalu banyak bergelut dengan hal yang mengundang perbezaan daripada yang menjadi kesepakatan dalam topik keimanan kepada Allah.
Seolah-olah yang harus dilakukan oleh seseorang manusia agar memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat ialah bagaimana ia menghafal pelbagai istilah dan teori tersebut.Oleh itu, beliau menyeru supaya hanya ibadat hati yang perlu didambakan. Mereka perlu mencurahkan usaha untuk meraih hal itu dengan cara beriman, bertawakal dan mengharap rahmat-Nya.
Menurutnya, banyak pendakwah Islam melupakan aspek ini yang merupakan substansi agama serta bahagian terpenting daripada keimanan.Mereka lebih mementingkan perbuatan kasar yang dilakukan oleh tubuh badan.Hal semacam itu memang penting tetapi ia tidak bermakna apabila tidak disertai dengan perbuatan hati. Padahal perbuatan hati ini merupakan asas mendapat kebahagian di dunia dan akhirat.
2. Dari retorika dan perdebatan menuju penerapan dan tindakan
Di antara sikap negative yang perlu dihindari ialah bangga dengan sejarah lampau tanpa mengubahnya dalam bentuk tindakan demi memperbaiki keadaan masa kini dan mengembangkannya ke arah yang lebih baik. Membicarakan sejarah masa lalu adalah baik selagi ia mendorong untuk terus memacu kejayaan itu. Kita harus mencipta kejayaan dan tidak harus hanya berbangga dengan sejarahnya sahaja.
Termasuk dalam sikap ini juga ialah tenggelam dalam kenangan pahit lalu tidak melakukan usaha positif untuk mengatasinya atau mengatasi kemungkinan berulangnya tragedi yang sama, membicarakan kesalahan orang lain, perdebatan yang tidak sihat dalam persoalan yang tidak memberi apa-apa faedah selain kesombongan diri dan membuang waktu. Oleh itu, umat Islam perlu berusaha untuk melakukan amalan yang lebih baik dan memiliki matlamat dan tujuan yang jelas.
Orang Islam tidak pernah hidup tanpa tujuan serta tidak melakukan sesuatu secara melulu. Kita harus menentukan jalan untuk menuju matlamat tersebut sesuai dengan keadaan dan kemampuan yang kita miliki. Al-Qardawi mengkritik golongan yang mencurahkan perhatian utama kepada bidang politik semata-mata dengan melupakan bidang pemikiran, pendidikan dan sosial.
Begitu juga golongan yang hidup di menara gading di dalam dunia teori yang idealistik dan tidak pernah turun ke medan masyarakat untuk bertindak. Begitu juga anggapan tentang satu-satunya perbuatan yang terbaik adalah bidang ketenteraan melawan musuh.
3. Dari sikap sentimental dan emosional menuju sikap rasional dan ilmiah.
Seorang muslim pasti dapat mengawal perasaan dan meletakkan akal pada tempatnya. Ia berfikir secara rasional dan ilmiah,ia tidak bersikap ekstrem dalam mencintai dan membenci, tenggelam dalam dunia khayalan dan kecenderungan untuk bergantung kepada niat semata-mata tanpa berusaha untuk memerhatikan perkara yang benar.
Manifestasi sikap emosional ini juga adalah sikap melupakan sunnatullah yang berlaku ke atas alam dan kehidupan manusia, berlebih-lebihan dalam menggambarkan sesuatu baik yang bersifat material ataupun kerohanian.Oleh itu, gerakan Islam perlu bangun dalam tradisi ilmiah dan perencanaan masa depan. Gerakan Islam perlu membebaskan diri daripada kecenderungan emosional dan apologetik kepada rasional, objektif dalam menilai sesuatu aktiviti, memahami realiti dan sejarah dalam menentukan sesuatu keputusan.
Antara ciri-ciri ilmiah ialah melihat segala sesuatu kejadian dan perkataan secara objektif tanpa terpengaruh dengan identiti pelakunya, menghormati kepakaran seseorang dalam bidangnya, mampu melakukan muhasabah diri dan mengakui kesalahan yang terlanjur serta berusaha mengambil pengajaran daripadanya dan menghormati adab perbezaan pendapat.
OIeh itu, beliau menyeru agar semangat ilmiah terus subur dalam gerakan Islam dan menjadikan pola berfikir berdasarkan ilmu aspek yang dominan dalam semua aspek kehidupan mereka. Pandangan ilmiah dijadikan sebagai ukuran penentu dalam mengeluarkan pandangan dan keputusan gerakan. Orang yang beriman hidup dalam keadaan keyakinan, menolak perasaan sangkaan dan mengikut taklid buta atau sikap gaya jumud.
4. Dari orientasi masalah cabang dan remeh menuju masalah pokok dan utama
Menurut al-Qaradawi perkara utama gerakan Islam kini ialah bidang pemikiran dan kebudayaan, bidang pendidikan dan kaderisasi. Pada hematnya, ramai aktivis gerakan Islam menyibukkan diri dalam perkara-perkara sunat dan larangan yang bersifat makruh sehinggakan tidak ramai yang menitikberatkan perintah yang bersifat fardu atau larangan-larangan yang bersifat haram.
Orang Islam perlu memperuntukkan fikiran dan waktu untuk melaksanakan perkara-perkara yang wajib dahulu, barulah amalan sunat. Dalam ketentuan wajibpun, ia harus memilih antara yang paling wajib, wajib sahaja dan seterusnya. Antara kesilapannya ialah bersikap keras dalam masalah sunat sehingga menganggapnya sebagai wajib serta mengutamakan ibadat sunat daripada ibadat fardu. Gerakan Islam perlu keluar dari lingkungan persoalan khilafiyah yang mengandungi potensi polemik kepada persoalan-persoalan yang disepakati bersama sehingga boleh merumuskannya menjadi agenda yang besar.
Perkara yang merosakkan iklim kebangkitan Islam adalah adanya golongan yang cenderung memberi perhatian kepada persoalan-persoalan yang tidak disepakati oleh para ulamak dalam masalah penghalalan atau pengharaman. Mereka menjadikan persoalan khilafiah ini sebagai ukuran dan penilaian terhadap tindak tanduk sesama manusia. Seolah-olah perkara khilafiah ini merupakan pokok keimanan dan landasan utama ibadat seperti hukum memanjang atau memendekkan janggut, memendek atau memanjangkan pakaian, posisi tangan ketika solat, hukum lukisan dan fotografi dan status hukum memakai hijab dengan menutup wajah wanita.
Menurut al-Qaradawi perkara ini berlaku disebabkan mereka menganggap pendapat yang mereka pegang dalam masalah khilafiah sebagai kebenaran yang tidak mungkin salah, kurang memperhatikan persoalan-persoalan agama yang telah disepakati, suka berdebat dan menyakiti orang lain sehingga memecah-belah umat, takabbur dan bangga pada diri sendiri yang merupakan titik tolak kepada kehancuran diri.
5. Dari menyulitkan dan ancaman menuju kemudahan dan khabar gembira
Islam merupakan agama rahmat kepada manusia dan alam ini. Rasulullah memerintahkan untuk memudahkan sesuatu perkara dan tidak menyulitkan. Pengertian mudah di sini bererti mengikuti manhaj yang memberi keluasan dan toleransi, keringanan yang jauh daripada tindakan menyulitkan, sukar dan berat. Sementara 'mempersulit' adalah manhaj yang menimbulkan kesulitan, kesempitan dan kesukaran terhadap manusia.
Allah menjadikan fitrah manusia untuk menyukai kemudahan dan keluasan. Dalam syariat Islam, hukum-hukum dilandaskan atas kemudahan,bukan atas kesulitan. Al-Qaradawi membawa dalil al-Quran bagi menyokong hujahnya seperti ayat al-Baqarah, ayat 185, al-Ma'idah ayat 6, al-Anfat, ayat 66. Namun, seruan kepada kemudahan bukanlah bermakna menghalalkan semua yang diharamkan berdasarkan dalil yang pasti seperti riba, minum arak, perjudian dan sebagainya. Semua yang tercantum dalam nas yang jelas tidak boleh diganggu-gugat lagi. Menurut al-Qaradawi, sikap keras bukan pada tempatnya sangat merugikan Islam kerana menimbulkan kerosakan dan menghilangkan banyak kemaslahatan.
Beliau menyeru kepada para aktivis Islam membicarakan tanda-tanda kemenangan Islam dan kecerahan masa depannya. Tidak ada tempat untuk kita menghiburkan diri dengan cerita-cerita malapetaka hari kiamat, mengatakan dunia Islam seburuk-buruknya dan masa depan Islam selalunya lebih buruk dari masa lalu, keimanan akan punah dan kezaliman akan bermahajalela.Keadaan seperti ini akan menyebabkan umat Islam berputus asa dan berasa tidak mampu untuk melakukan perubahan, meluruskan yang bengkok dan merubah keadaan ke arah yang lebih baik.
Oleh Dr Rumaizuddin
http://www.mindamadani.my/