Halaman

Sabtu, Disember 12, 2009

ABIM Mohon Bantuan Mangsa Banjir Pantai Timur

Oleh Muhd Shakir Fahmi / Mohd Firdaus Bin Md Hamsin

Kota Bharu, 2 November 2009 – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengalu-alukan sebarang sumbangan untuk mangsa-mangsa banjir di pantai timur. Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD atas nama ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA di no. 14-023-01-001121-9. Sebagai makluman, pada ketika ini gerak kerja membantu mangsa-mangsa banjir telah digerakkan oleh Skuad Prihatin ABIM dengan kerjasama dengan ABIM Kelantan dan Pertubuhan Briged Bakti Kelantan.

Dalam kunjungan baru-baru ini, ABIM telah mengagihkan sebanyak 50 kampit beras serta barangan-barangan keperluan asas yang lain seperti minyak masak, tepung, biskut, gula, dan Milo, kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan. Bantuan ini telah dihantar menerusi Saudara. Mohd Shakir Fahmi dan Saudari. Noraliza Effendy, dari bahagian hubungan antarabangsa dan alam sekitar ABIM.

Selain daripada mengagihkan bantuan, mereka juga turut membuat tinjauan kawasan utama banjir selain menubuhkan Pusat Bantuan Banjir untuk menyelaras bantuan banjir yamg akan diberikan kepada penduduk yang terlibat. Bantuan telah dihulurkan kepada Pengarah Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, pejabat Setiausaha Negeri Kelantan,Y.Bhg. Encik Abdul Aziz, yang mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan serta bantuan yang diberi.

Bantuan diterima akan diagihkan kepada mangsa-mangsa di kawasan Rantau Panjang, Tumpat dan Pasir Mas. Mengikut ramalan cuaca, hujan lebat dijangka akan berterusan selama dua minggu lagi dan ini akan mengakibatkan banyak harta benda yang akan rosak dan banyak rumah yang akan ditenggelami air.