Halaman

Rabu, November 25, 2009

Perutusan YDP Sempena Aidiladha

Mendamba Keberkatan Menerusi Pengorbanan

Alhamdulillah – umat Islam di seluruh pelusuk dunia bakal mengumandangkan lagi kalimah-kalimah suci Tasbih dan Tahmid, mengagong dan mengesakan Allah swt. Apatah lagi kita selaku makhluk yang serba lemah dan sentiasa berhajat kepadanya.

Bila disebut tentang Hari Raya Haji atau Korban, ingatan kita tentunya kepada peristiwa bersejarah iaitu Pengorbanan nabi Ibrahim as dan Ketaatan nabi Ismail as.
Kesetiaan nabi Ibrahim terhadap perintah Allah menyembelihkan anakandanya Ismail as ini turut disertai malaikat Jibril dengan alunan takbir Allahu Akbar, disambung oleh nabi Ibrahim dengan lafaz La ilaaha illallahu wallahu akbar serta disambut oleh Ismail dengan kalimah Allahu Akbar Walillahil Hamd.

Subhanallah – suatu kombinasi hebat menggambarkan sejenis pengorbanan yang bukan kepalang dan peristiwa itu mendapat perhatian langsung dari Al-Quran. Firman Allah swt;
“ Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar”. Al-Shaffat: 106-107.

Sesungguhnya apa yang terjadi ke atas nabi Ibrahim dan Ismail merupakan ujian yang mendambakan kesabaran, ketabahan, kesetiaan dan pengorbanan. Peristiwa di atas punyai pengajaran dan pengiktibaran yang maha hebat buat umat Islam yang dikurniakan aqal untuk berfikir, mata untuk melihat, telinga untuk mendengar dan hati untuk menangkap isyarat-isyarat ketuhanan berupa kebaikan dan keburukan.

Ruh pengorbanan yang ditanam dalam dada umat Islam sebenarnya mampu mengikis kecenderungan sifat keakuan; iaitu suatu sifat mazmumah yang tidak memberi ruang kepada sifat kekitaan malah cenderung mengeksploitasi kedudukan untuk kepentingan peribadi. Dalam keadaan tertentu ianya akan menjadi lebih parah bilamana sifat keakuan ini tidak bersedia untuk melakukan kompromi, kalaupun berlaku ia mestilah ‘aku yang lebih dulu’. Penyakit keakuan seperti ini, kiranya dibiarkan akan menumbuhkan keinginan bahkan nafsu besar mengeksploitasi apa saja, siapa saja dan dimana saja untuk kepuasan runtunan hawa nafsu. Bila mana nafsu berkuasa dan berpengaruh maka segala-galanya akan ditentukan berdasarkan meterialistik ( ukuran material ) dan hedonistic ( keseronokan ).

Umat Islam perlu belajar untuk mendahulukan kepentingan ramai. Sifat kekitaan dalam konteks dunia hari ini adalah satu kewajipan yang memerlukan pengorbanan. Lantaran itu Rasul saw ketika hampir menemui ajal masih lagi mengungkapi kalimah ummati ummati ( umatku-umatku ) bukannya nafsi nafsi ( diriku-diriku ). Sedarlah wahai umat Islam, keengganan kita berkorban meruntuhkan perkara-perkara yang membinasakan seperti mengikut telunjuk hawa nafsu, kagum dengan pendapat sendiri akan mengakibatkan kehancuran manusia. Keserakahan nafsu telah mengakibatkan eksploitasi sesebuah bangsa ke atas bangsa yang lain. Orang miskin seringkali ditindas manakala orang kaya selalu menindas. Orang kerdil yang mengharapkan ihsan dan belas kasihan diperah dan dikerah tenaga oleh orang yang berpengaruh dan berkedudukan. Demikianlah nasib umat yang berada dibawah pengarauh orang besar yang terpenjara dengan sifat keakuannya.

Baginda Ar-Rasul saw telah memperingatkan umat Islam terhadap ancaman ananiyah “ keakuan” ini lewat sabdanya yang bermaksud:

“ Hati-hatilah kamu dan jauhilah dari kebakhilan yang telah menghancurkan umat sebelummu. Kekikiran telah mendorong mereka untuk memutuskan hubungan silaturahim dan mendorong mereka berbuat kejahatan”. – riwayat Abu Daud dan Al-hakim

Hadis di atas mengisyaratkan bahawa sifat Keakuan yang membawa kebakhilan itu benar-benar telah mendorong mereka memutuskan silaturrahim dan berbuat kejahatan.

Dalam konteks kita, masyarakat dan Negara sedang mengalami krisis komunikasi social ( krisis hablun minnas ) yang sangat parah. Inilah akibat wabak keakuan dan kebakhilan yang telah membudaya dalam hidup. Saudagar-saudagar besar akan terus mengaut keuntungan tanpa mempeduli kerugian-kerugian peniaga-peniaga kecil. Golongan kapitalis akan terus memunggah harta kekayaan milik umat dan Negara tanpa terdorong rasa untuk menolong golongan marhain yang susah terbiar. Akhirnya jurang social antara yang kaya dan miskin melebar, yang perpendidikan dan tidak berpelajaran memanjang dan yang di Bandar dan di desa akan terua menjarak.

Di sudut yang lain wabak keakuan dan keangkuhan juga boleh terjelma menerusi lembaga berupa rezim berkuasa. Sebagai contoh AS telah menghancurkan sisa-sisa peradaban Kota Bagdad dengan dua kota ilmunya Kufah dan Bashrah. Keangkuhan dan keakuan AS jugalah telah memaksakan definasinya sendiri terhadap apa itu terorisme padahal merekalah yang dianggap “ the real terorisme” .

Kalau inilah kita; masyarakat, negara dan ummah. Apakah sebenarnya yang kita perlukan untuk kebaikan umat. Kebaikan bagi umat tidak boleh dicapai serta merta dengan ramainya bilangan orang tetapi berantakan sama sendiri, silang sengketa bak retak menunggu belah. Kebaikan umat hanya akan dapat dicapai menerusi umat yang cintakan pengorbanan. Semua peringkat sanggup berkorban; golongan atasan, menengah dan rendah. Kita menanti-nanti munculnya pejuang-pejuang yang mencintai pengorbanan. Bak kata Syeikh Syahid Hasan Al-Banna tidak ada pejuang tanpa pengorbanan, Pejuang sejati adalah yang rela siap siaga untuk berkorban; baik harta, tenaga, fikiran , waktu, kedudukan maupun nyawa. Tadhiyah dalam konteks penceritaan sejarah nabi Ibrahim dan Ismail adalah bukti tertinggi seorang pejuang sejati yang tunduk dan taat kepada perintah Allah swt.

Malah al-Quran mengabadikan sejarah bahawa kemenangan serta keberkatan hidup adalah hasil dari sebuah pengorbanan. Pengorbanan bonda Nabi Musa ketika melepaskan putra kesayangannya ke arus sungai demi menepati janji Allah daripada menuruti keinginan perasaannya mendakap putra yang disayangainya. Dengan pengorbanan yang tulus itulah maka akhirnya terjadi….

“ kami kembalikan Musa kepadamu dan kami mengangkatnya menjadi salah seorang rasul “.

Kekuatan iman dan keikhlasan nabi Ibrahim as, disaat mengorbankan putra kesayangannya dengan tangannya sendiri telah melayakkannya untuk menerima surat pengiktirafan dari Allah swt sebagai imam bagi manusia.




Kemenangan Tholut dan tenteranya yang tinggal sedikit akibat bencana yang dashyat, turut dicatat al-Quran sebagai hasil pengorbanan ‘Fiah Qalilah’ kelompok kecil dari tentera tholut. Mereka berjaya melakukan pengorbanan moral yang besar mengalahkan nafsu meminum air dalam keadaan yang sangat dahaga serta kehabisan air. Demi ketaatan pemimpin dan menjaga disiplin tentera, mereka tidak minum air sungai yang mengodakan itu. Maka mereka mampu mengalahkan tentera jalut yang jauh lebih banyak bilangan serta perkasa dengan izin Allah swt.

Pengorbanan generasi pertama umat Islam mempertahankan pegangan aqidah, keyakinan risalah ketuhanan, menyebarkan dakwah ke seluruh pelusuk dunia tanpa penat dan lelah, mengorbankan segala-galanya demi menjulang Islam sebagai agama yang paling ulung wajar terus menjadi aspirasi buat umat Islam pada hari ini agar meneladani kembali sejarah dan tokoh agung umat dan bersedia membina generasi muda hari ini mencontohi personality dan qudwah berharga demi survival ummah dan generasi akan datang.

Semoga ruh tadhiyah – semangat pengorbanan mampu menganjak kita agar menghayati falsafah kurban disebalik perayaan hari raya qurban pada tahun ini.


Selamat Menyambut ‘Idil Adha dan Salam Pengorbanan